Bulan Sya’ban adalah bulan di mana
amalan hamba diangkat kepada Allah SWT, bulan di mana Allah merahmati orang
yang memohon kerahmatan dan mengampuni dosa orang yang memohon keampunan.
Inilah bulan di mana Allah membebaskan sejumlah hamba daripada api neraka dalam
jumlah yang tidak terhitung (yang hanya diketahui oleh Allah).
Usamah bin Zaid melaporkan bahawa Nabi SAW telah ditanya oleh seorang sahabat: “Ya Rasulullah! Aku tidak melihat
engkau banyak berpuasa pada bulan-bulan lain kecuali bulan Sya’ban. Lalu Nabi SAW menjawab: “Inilah bulan ramai orang yang melupainya
yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Iaitu bulan yang diangkat amalan
manusia kepada Allah. Oleh itu aku amat suka jika amalku diangkat kepada Allah
ketika aku sedang berpuasa". (Nasa’i)
Dari Aisyah r.a berkata:
“Tiadalah
bulan yang banyak Rasulullah berpuasa melainkan bulan Sya’ban”.
(Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan
Nasai)
Daripada Aisyah r.a berkata:
Rasul SAW telah bangun pada satu malam. Lalu baginda menunaikan solat dan sujud. Nabi
telah sujud dengan begitu lama sehingga aku menyangka bahawa baginda telah
mati. Bila aku lihat demikian aku segera bangun dan mengerakkan jari-jemarinya.
Lalu jarinya bergerak-gerak (tanda masih bernyawa). Aku kembali ke tempat tidur
dan aku terdengar baginda berkata-kata dalam sujudnya: “Ya Allah, aku
berlindung daripada kemurkaanMu dengan mendapat keredaanMu, aku berlindung dari
balasan siksaanMu dengan memperolehi keselamatanMu, aku berlindung denganMu
yang memiliki semulia-mulia pujian yang tidak mampu dihitung untukMu
sebagaimana aku panjatkan setinggi-tinggi pujian ke atasMu”. Selepas
baginda memberi salam, baginda berkata kepadaku: Wahai Aisyah, adakah
kamu menyangka bahawa Rasul SAW telah musnah (mati)?”. Aku katakan: “Tidak,
demi Allah ya Rasulullah. Tetapi aku menyangka kamu telah mati (lantaran
terlalu lama sujud dan tidak bergerak). Lalu Nabi bersabda: “Adakah
kamu tahu apakah malam ini?”. Aku menjawab: “Allah dan rasulNya lebih
mengetahui”. Rasul bersabda: “Inilah malam Nisfu Sya’ban, yang Allah
kurniakan kepada hambaNya,
Allah berfirman: “Ketahuilah, orang yang memohon
keampunan pastilah Aku ampuni dosanya, orang yang meminta sesuatu pastilah Aku
berikannya, orang yang berdoa pastilah Aku perkenannya dan para pendengki
dilambatkan kejahatanyan seperti yang diinginkan”. (Baihaqi dengan
sanad yang baik)
Selain bulan Ramadan yang penuh
dengan keberkatan, bulan Sya’ban juga terkandung keberkatan seperti yang telah
disebutkan oleh Nabi SAW bahawa bulan ini ramai orang yang melupakan tentang
kelebihannya. Justeru dengan rahmat Allah telah menjadikan bulan Sya’ban turut
mempunyai kelebihan dan fadilat yang tertentu. Oleh itu bagi hamba yang beriman
sewajarnya berlumba-lumba mendapatkan keampunan dan pemeliharaan Allah di bulan
ini. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana ramai orang yang lupa
dan leka tentangnya. Golongan manusia seperti ini diseru supaya kembali
menyedari tentang kelebihan bulan Sya’ban dan memperbaharui cita-cita serta
kembali ke pangkuan Allah supaya memperolehi rahmat dan keampuannya. Moga
dengan rahmat Allah itu segala dosa diampunkan dan kelak dibebaskan daripada
siksaan api neraka.
No comments:
Post a Comment