Artikel diambil daripada laman LIBUR
Periksa Kesihatan Awal
Sebelum merancang untuk bercuti, pastikan anda membawa warga tua ini berjumpa dengan doktor untuk mengetahui tahap kesihatan mereka. Maklum sajalah, terdapat pelbagai penyakit menyerang apabila umur semakin meningkat. Sekurang-kurangnya, doktor akan memberitahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan jika berlaku apa-apa selain menjalankan rawatan rapi sebelum berangkat.
Bawa Bekalan Ubat
Jangan lupa bawa bekalan ubat biar pun tidak mempunyai penyakit kronik misalnya penyakit jantung. Sentiasa bersiap sedia dengan ubat-ubatan yang dirasakan perlu mengikut keadaan dan destinasi yang dituju. Setiap ubat perlu dilabel dengan baik supaya tidak berlaku kekeliruan di saat kecemasan.
Guna Kemudahan Diberi
Kebanyakan kawasan percutian menyediakan kemudahan untuk kesenangan pengunjung. Usah malu menggunakan perkhidmatan yang disediakan seperti kerusi roda. Berkerusi roda juga masih boleh membawa mereka berjalan mengelilingi dunia, bukan?
Jaga Pemakanan
Perhatikan makanan yang diambil. Jangan kerana mahukan pengalaman merasa makanan di tempat orang, anda telah melanggar pantang makanan. Jika teringin sekali pun, nikmati dalam kuantiti yang sedikit.
Minum Banyak Air
Untuk elak hidrasi, pastikan minum banyak air kosong terutama apabila bercuti di negara empat musim. Dengan memperbanyak minum air kosong, penyakit atau mudah letih tidak akan mudah menyerang sebaliknya tubuh sentiasa bertenaga dan segar.
Selain panduan di atas, pastikan membawa pakaian yang sesuai dengan cuaca yang dikunjungi dan pastikan ada rehat yang mencukupi. Jika anda boleh membawa bayi dan kanak-kanak melancong, tidak mustahil anda boleh membawa ibu, bapa, nenek atau sesiapa saja warga emas pergi bercuti. Melancong adalah cuti rehat paling berharga buat warga emas!